KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyasarkan untuk memeriksa sejumlah 17,000 bangunan daripada pelbagai kumpulan maksud kegunaan, pada tahun ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata JBPM menetapkan sasaran itu sebagai antara langkah proaktif bagi meningkatkan tahap ketersediaan sistem pemasangan keselamatan di dalam bangunan di negara ini.

Selain itu, beliau berkata ia juga menunjukkan usaha pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkasakan program pencegahan kebakaran bagi mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara.

“Bagi Januari sahaja, sebanyak 4,027 inap desa atau homestay dan bilik penginapan telah dibuat pemeriksaan penguatkuasaan bahaya kebakaran.

“Begitu juga pada Februari lepas, sebanyak 122 blok di 22 kawasan perumahan awam yang sudah berusia lebih 30 tahun di kawasan bandar raya Kuala Lumpur turut diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa JBPM berjaya memeriksa 405,529 pili bomba di seluruh negara, melebihi 100 peratus daripada jumlah keseluruhan pili bomba awam bagi 2023.

Sehubungan dengan itu, Nga berkata pada tahun ini pihak KPKT melalui JBPM akan meningkatkan kekerapan pemeriksaan terhadap pili bomba awam yang berada dalam radius tujuh kilometer dari balai bomba.

Beliau berkata jumlah keseluruhan pili bomba yang direkodkan di seluruh negara pada 2023 adalah sebanyak 422,472 unit, merangkumi 357,130 unit pili bomba awam dan 65,342 unit pili bomba swasta.

“Di samping itu, pembangunan projek rintis Command, Control, Commmunication, Computerised and Inteligence telah dilaksanakan bermula 1 Mac lepas dan dijangka siap pada Februari 2026 dengan kos RM47.74 juta.

“Projek rintis ini bagi memperkukuh lagi sistem kawal dan perintah inisiden, mengaplikasikan penggunaan teknologi terkini, kecerdasan buatan serta mengoptimumkan data raya,” katanya sambil menambah projek rintis itu seiring dengan dasar dan usaha pendigitalan Kerajaan MADANI. - Bernama