KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Firdaus Abdullah, 79, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang di sini pada 3 petang ini.

Kira-kira 100 ahli keluarga dan sahabat handai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Firdaus yang juga dikenali sebagai seorang penulis dan penyajak dibawa ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk disolatkan.

Sementara itu, anak kedua Allahyarham, Falahi Sarisatriya, 40, berkata bapanya meninggal dunia kira-kira 5 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser limfoma.

“Bapa saya dimasukkan ke HKL lebih sebulan lepas bagi menjalani rawatan akibat kanser limfoma. Kanser Allahyarham menjadi teruk dan disahkan berada pada tahap tiga minggu lepas sebelum meninggal dunia pagi tadi,“ katanya kepada pemberita selepas pengebumian itu.

Sepanjang menjadi tokoh bahasa, Firdaus dikenali dengan beberapa karya antara kumpulan puisi Prisma Mimpi (1985), kumpulan puisi kanak-kanak Puisi Amira dan Falahi (1986), selain kebanyakan puisi ecerannya tersiar dalam antologi puisi dan terbitan berkala.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Methodist Sentul, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Sastera Kewartawanan dan Sains Politik di Northern Illinois University di Amerika Syarikat (AS) pada 1969.

Allahyarham juga mempunyai Sarjana dalam Komunikasi dan Hubungan Antarabangsa dari Ohio University dan Sarjana dalam Falsafah dan Perbandingan Politik dan PhD Sains Politik dari Columbia University, AS.

Dalam kerjaya pula beliau bermula sebagai Penolong Pensyarah (Sementara), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Naib-Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaya pada 1998 hingga 2001.

Di sektor swasta, beliau berkhidmat sebagai wartawan Berita Harian dan News Straits Times dan Pengerusi Eksekutif Utusan Karya Sdn Bhd, manakala dalam bidang politik beliau pernah dilantik sebanyak dua kali sebagai Senator bermula pada 2009.