KUALA LUMPUR: Jenazah bekas Ketua Polis Negara (KPN) Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada 3.15 petang.

Allahyarham disemadikan bersebelahan pusara anaknya, Allahyarham Ahmad Jamal Omar yang meninggal dunia pada 2013.

Kenderaan membawa jenazah Allahyarham tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 2.50 petang.

Sebelum dikebumikan, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyerahkan Jalur Gemilang yang menutup keranda Allahyarham kepada anak keduanya Abdul Rahmat Omar sebagai simbolik penghormatan terakhir PDRM.

Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang di kediamannya di Shah Alam, Selangor memegang jawatan KPN keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 sebelum bersara pada 15 Jan 1994.

Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa ke Dewan Solat Utama, Masjid Negara sebelum solat jenazah disempurnakan dan dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Solat jenazah tersebut disertai kira-kira 1,000 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, pegawai tertinggi PDRM dan sahabat handai.

Turut hadir di Masjid Negara, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Razarudin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Timbalan KPN Tan Sri Mazlan Mansor.

Hadir sama, Pengarah JSJ Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Nor, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dan Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman SAC Nik Ezanee Mohd Faisal.

Terdahulu, Razarudin memaklumkan jenazah Mohammed Hanif akan dikebumikan di Makam Pahlawan di sini, bagaimanapun Abdul Rahmat Omar memberitahu media bahawa atas permintaan keluarga, jenazah ayahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.