IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas 5,864 tapak bazar Ramadan di seluruh negeri bagi memastikan setiap makanan dan minuman yang dijual mematuhi piawaian ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata bagi tahun lepas, 2,519 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 2,447 premis berada pada tahap kesihatan memuaskan.

“Bagi aktiviti persampelan makanan, sebanyak 298 sampel makanan pelbagai kategori seperti daging dan hasilan, buah dan hasilan, air serta minuman telah dianalisis melalui ujian mikrobiologi.

“Daripada jumlah sampel tersebut, didapati sembilan sampel melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Bakteria yang dikesan ialah Coliform Staphylococci, Bacillus Cereus dan Salmonella Spp,” katanya ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Ops Ramadan Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Perak di sini, hari ini.

Sivanesan berkata tindakan penguatkuasaan telah diambil ke atas semua peniaga terbabit dan ada antara mereka yang dikenakan amaran serta dihadapkan ke mahkamah.

“Kita menasihatkan orang ramai untuk mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan ini sebelum membeli. Amalkan ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ kerana ia langkah paling mudah untuk mengelak keracuan makanan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata orang ramai terutama kanak-kanak serta warga emas di negeri ini dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah ekoran fenomena El-Nino yang dijangka melanda negara sehingga pertengahan tahun ini.

Ini kerana katanya kebanyakan kawasan di Perak mencatatkan cuaca panas dan kering melebihi kebiasaan sepertimana direkodkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Pendedahan kepada cuaca panas dalam tempoh yang lama dan kurang minum air boleh memudaratkan kesihatan lebih-lebih lagi pada ketika ini semua orang beragama Islam sedang menjalani ibadah puasa.

“Gejala penyakit akibat cuaca panas melampau ialah sakit kepala, keletihan, kekejangan dan rasa mual. Keadaan lebih teruk adalah sehingga mengakibatkan dehidrasi, kekeliruan dan koma,” katanya. - Bernama