MARANG: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Negeri Terengganu (CPFNT) merampas 548 jenis produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM277,643 sepanjang tahun lepas.

Pengarah JKNT Datuk Dr Kasemani Embong berkata rampasan itu hasil serbuan ke atas pelbagai premis kedai dan jualan yang dibuat secara dalam talian manakala sebanyak 44 kes didakwa di mahkamah dengan jumlah denda sebanyak RM199,200.

“JKNT juga telah membuat saringan ke atas 1,353 iklan perubatan yang berleluasa di pelbagai platform terutama media sosial,“ katanya pada Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Cakna Ubat 2024 di Wakaf Tapai, di sini hari ini.

Program bertemakan Warga Emas Sihat, Komuniti Sejahtera itu menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan termasuk pameran ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar serta pemeriksaan kesihatan.

Dr Kasemani berkata JKNT sedang giat menjalankan pemeriksaan ke atas premis kedai runcit dan kedai makan di kawasan kampung serta pedalaman yang dikesan menjual ubat-ubatan tidak berdaftar.

“Pemilikan dan penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM boleh disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. JKNT juga mengadakan pelbagai program kesedaran seperti Kampungku Celik Ubat bagi mendidik pengguna di kawasan tersebut,“ katanya.

Mereka yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan berikutnya.

Dr Kasemani menggesa orang ramai memanfaatkan aplikasi FarmaChecker yang dibangunkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan ketulenan ubat yang dibeli.