JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM1.9 juta bagi menyediakan kemudahan Wi-Fi Premium Maju Johor di 63 hotspot melibatkan 23 lokasi di negeri ini bermula Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin berkata Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim dan Kolej Yayasan Pelajaran Johor antara lokasi menerima inisiatif melibatkan kelajuan minimum 1 Gbps bagi setiap talian dengan setiap lokasi akan menerima beberapa bilangan talian.

Beliau berkata empat hospital kerajaan juga akan menerima kemudahan berkenaan iaitu Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail di sini, Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat serta Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom di Kluang.

“Lokasi seterusnya ialah di kaunter pendaftaran dan ruang menunggu Pejabat Tanah Johor Bahru; Pejabat Tanah Daerah Kulai; Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar serta Terminal Bas Larkin.

“Sebanyak 25 hotspot di 13 Projek Perumahan Rakyat (PPR) negeri Johor akan diberi kemudahan Wi-Fi Premium Maju Johor ini dengan kelajuan 2 Gbps setiap hotspot. Kemudahan ini akan memanfaatkan 12,700 keluarga, “ katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 Peringkat Johor dan Majlis Pelancaran Inisiatif Wi-Fi Premium Maju Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jen (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Sementara itu, Zulkifeli berkata Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2024 akan diteruskan di Kedah pada bulan depan, diikuti Perak pada Oktober bagi memperkasakan dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menghadapi pelbagai ancaman penipuan.

Beliau berkata sejak Januari hingga Mac tahun ini penipuan dalam talian merekodkan 7,651 kes dengan nilai kerugian dianggar berjumlah RM332 juta.

Menurutnya dalam tempoh sama, Pusat Tindakbalas Insiden Siber - Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 1,555 insiden keselamatan siber menerusi laporan daripada pengguna Internet.

“Insiden yang dilaporkan meliputi pelbagai ancaman siber, dengan penipuan dalam talian kekal tertinggi dilaporkan iaitu 1,025 kes atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan laporan,” katanya.

Program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan diilhamkan oleh Gabungan Bertindak Anti-Scam yang dianggotai oleh agensi kerajaan, organisasi swasta, pemain industri, badan bukan kerajaan, persatuan serta institusi pengajian tinggi dan disokong oleh Kementerian Digital.