BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 1,821 saman dengan kesalahan tiada lesen memandu paling tinggi dicatatkan dalam Operasi Khas Rentas Negeri 2023, yang dijalankan di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Operasi melibatkan zon utara selama tiga hari sejak Isnin lepas itu, diketuai Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa.

Adenan berkata dalam operasi itu pihaknya memeriksa sebanyak 3,668 kenderaan dan 1,002 kenderaan dikenakan pelbagai tindakan dengan 400 buah daripadanya disita, termasuk kenderaan yang dipandu warga asing.

Beliau berkata dalam operasi itu JPJ mengeluarkan sebanyak 1,821 saman dengan kesalahan tiada lesen memandu paling tinggi iaitu 651 saman dan diikuti tiada cukai jalan, 575 saman.

“Tiada lesen memandu masih lagi menjadi kesalahan utama dan amat mengecewakan apabila masih ramai yang ambil tidak kisah akan kepentingannya, mereka yang tiada lesen itu memberi alasan tidak mempunyai masa untuk pergi ke sekolah memandu serta kos yang mahal untuk mendapatkan lesen.

“Semakan kami mendapati golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun paling ramai tidak memiliki lesen memandu yang mana terdiri dalam kalangan lepasan sekolah serta pelajar universiti,“ katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di Plaza Tol Sungai Dua hala selatan, di sini hari ini.

Adenan berkata Ops Khas Rentas Negeri ini dijalankan untuk meningkatkan ‘tanggapan sedang diperhatikan’ dalam kalangan pengguna jalan raya dengan memfokuskan isu berkaitan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar peraturan lalu lintas. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image