IPOH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan 16,142 kes memandu melebihi had laju menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) menerusi pelaksanaan Operasi Khas sepanjang perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 sejak 1 April lepas.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Datuk Lokman Jamaan berkata daripada jumlah tersebut, sebanyak 95 peratus memandu dalam kelajuan antara 130 km/jam hingga 170 km/jam manakala lima peratus lagi dikesan memandu melebihi 170 km/jam.

“Pemandu perlu lebih bertanggungjawab pada diri sendiri dan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan mengawal had kelajuan kenderaan yang bergerak pada kelajuan ditetapkan.

“Secara tidak langsung ia mampu mengurangkan kadar kemalangan dan kematian harian dalam tempoh musim perayaan,“ katanya kepada pemberita pada Operasi Bersepadu Motosikal HRA 2024 di Meru Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lokman berkata pihaknya mengeluarkan 26, 313 notis pelbagai kesalahan kerana kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya menerusi Ops Khas Motosikal bagi tempoh 1 hingga 6 April.

Menurutnya, sejumlah 1,464 motosikal turut disita atas kesalahan ekstrem semasa operasi berkenaan dilaksanakan di seluruh negara.