DUNGUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 59,037 permohonan gantian kad pengenalan baharu tahun ini.

Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias berkata permohonan itu disebabkan kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian, jenayah serta bencana termasuk banjir dan kebakaran.

Beliau berkata faktor kecuaian merekodkan bilangan tertinggi iaitu 55,504 permohonan diikuti faktor bencana (2,575 permohonan) dan jenayah (958 permohonan).

“Kecuaian ini contohnya mereka tinggalkan kad pengenalan pada pengawal keselamatan untuk masuk ke premis tertentu tetapi lupa ambil semula ... mendaftar masuk ke hotel dan sebagainya.

“Selangor mencatat jumlah permohonan baharu tertinggi akibat kecuaian iaitu 8,482 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7,427 permohonan) dan Johor (7,247 permohonan). Perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana semua kad pengenalan ialah dokumen terpenting yang perlu dijaga dengan baik,“ katanya pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN di Kampung Pasir Raja di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran (Operasi) JPN Sarinah Apisah dan Pengarah JPN Terengganu Mohamad Nasir Kareem.

Pada majlis itu, Badrul Hisham menyampaikan enam kad pengenalan baharu kepada penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terjejas banjir Februari lepas.

Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata JPN akan meneruskan program Mekar Diaspora di Amerika Syarikat pada Jun ini bagi memberi perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus untuk rakyat Malaysia di luar negara.

“Program Mekar Diaspora ini lokasinya kita pilih berdasarkan jumlah rakyat Malaysia yang ada di sana. Ramai rakyat kita di luar negara yang memerlukan perkhidmatan kita ... tetapi untuk balik berurusan di Malaysia memerlukan kos tinggi.

“Jadi, apa yang kerajaan MADANI buat ialah kita pergi kepada mereka dan bantu seperti program Mekar Diaspora di Jeddah Januari lepas. Insya-Allah, kita akan ke Amerika Syarikat selepas ini, tetapi lokasinya akan ditentukan nanti,“ katanya.