SHAH ALAM: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.69 bilion kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor untuk melaksanakan lima Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi di daerah Klang, Petaling dan Sepang.

Pengarah JPS Selangor Nasser Salim berkata selain projek Rancangan Tebatan Banjir, JPS Selangor juga melaksanakan projek penstabilan dan pengukuhan tebing, menaik taraf saliran dan projek lain yang berkaitan dengan Fenomena Air Pasang Besar.

“Memandangkan pelaksanaan projek jangka panjang mengambil tempoh masa yang agak lama, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan kepada JPS Selangor untuk melaksanakan projek jangka masa sederhana dan pendek yang akan memberi penyelesaian secara setempat, terutama melibatkan kawasan kerap berlaku (hotspot) banjir,” katanya dalam temu ramah bersama media baru-baru ini.

Beliau menekankan bahawa kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan JPS Selangor sangat penting terutamanya untuk projek-projek sederhana yang menumpukan kepada 79 kawasan kerap berlakunya banjir dan 354 kawasan berisiko banjir di Selangor.

Dari segi pemantauan JPS ke atas sistem perparitan, Nasser berkata bagi memastikan sistem perparitan sentiasa berfungsi dengan baik, pihaknya mengambil tindakan segera melaksanakan kerja baik pulih atau saliran berdasarkan aduan yang diterima.

Beliau berkata JPS Selangor turut membekalkan 124 rumah pam dan 123 unit pam air bergerak untuk kerja-kerja segera seperti di Meru yang berlakunya air bergenang dan pam tersebut akan membantu mempercepatkan aliran air keluar dari kampung-kampung atau kawasan perumahan terus ke sungai dan laut.

Menurut Nasser, beberapa sistem amaran banjir telah dibangunkan termasuk sistem siren dan penghantaran maklumat melalui SMS, untuk memberi peringatan kepada penduduk jika berlaku banjir.

“JPS Selangor juga menjalankan kerja penyelenggaraan secara berkala tahunan untuk memastikan kapasiti saliran berada pada tahap optimum sebelum musim Monsun Timur Laut,” katanya.

Dalam pada itu, Nasser berkata punca banjir yang dikenal pasti termasuk hujan lebat, limpahan air sungai, ketiadaan sistem perparitan yang sempurna dan pertembungan hujan lebat dengan air pasang besar.

JPS Selangor katanya turut melaksanakan langkah-langkah pengurusan terbaik dalam mengatasi masalah banjir di negeri itu, dengan mensyaratkan keperluan pembinaan tadahan air berdasarkan Purata Selang Ulangan 100 ARI bagi setiap permohonan pembangunan tanah.

Beliau berkata reka bentuk tadahan tersebut juga harus dipertimbangkan sebagai parameter utama dalam penyediaan pelan induk saliran yang terperinci di kawasan pemajuan terlibat.