PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan akan membantu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk mempromosi hak asasi manusia di negara ini yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan acuan Malaysia, demi kesejahteraan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan susulan pertemuannya dengan Suhakam semalam berkata kerajaan juga sedia bekerjasama dengan Suhakam, dalam menangani sebarang pelanggaran hak asasi manusia di negara ini.

“Pertemuan ini sesungguhnya merupakan bukti iltizam kerajaan Persekutuan yang terus menerus membantu Suhakam sejak penubuhannya pada tahun 1999,” katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Suhakam semalam, Wan Junaidi berkata ia bagi membincangkan hal ehwal suruhanjaya itu, perancangan laporan tahunan Suhakam, cadangan pindaan Akta Suhakam 1999 (Akta 597) dan perkembangan terkini mengenai Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) dan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP).

Katanya dalam pertemuan itu, Suhakam juga membentangkan cadangan penambahbaikan institusi penguatkuasaan untuk pertimbangan kerajaan.

Menyentuh pindaan undang-undang yang dicadangkan Suhakam, Wan Junaidi bersetuju “sesuatu undang-undang perlu berkembang mengikut keperluan masa dan jika ia memerlukan pindaan yang sewajarnya, penelitian perlu diberi kepada pindaan tersebut demi kebaikan rakyat dan negara”. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image