KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan RM7 juta sebagai langkah segera membantu mengairi sawah di beberapa kawasan negeri ini akibat kemarau.

Pengurus Besarnya Mohd Faizul Mustafa berkata peruntukan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu bagi membaik pulih pam, pembinaan telaga tiub, menyediakan pam mudah alih, pam ‘backward’ dan pengagihan diesel kepada petani terlibat.

Beliau berkata keadaan cuaca menyebabkan air Sungai Kelantan menyusut, sekali gus pam Kemubu tidak dapat mengairi keseluruhan sawah di kawasan Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Utara, Pasir Puteh dan Bachok, sejak hampir sebulan lepas.

“Punca utama kekurangan sumber air juga disebabkan paras air Sungai Kelantan yang semakin rendah selain pam yang dipasang sejak 30 tahun lepas sudah tidak dapat memenuhi perubahan paras air.

“Memandang serius kemelut dihadapi petani di kawasan seliaan agensi, KADA telah mengambil langkah segera melalui pelbagai pendekatan bagi mengatasi masalah berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Faizul berkata sehingga kini KADA telah menyediakan 32 pam khas di keseluruhan kawasan bagi mengairi 2,400 hektar sawah pada petani, selain membina 26 daripada 100 unit telaga tiub membabitkan peruntukan RM500,000.

KADA, katanya turut menyediakan peruntukan lebih RM1.8 juta bagi pengagihan diesel atau petrol kepada petani dan sebanyak RM400,000 bagi penyediaan 150 unit pam ‘backward’.

“Pam kitar semula kita telah mulakan pemasangan di empat tempat yang dijangka siap sepenuhnya Jun ini, manakala peruntukan RM800,000 pula diberikan bagi penyediaan pam mudah alih,“ katanya.

Beliau berharap pesawah dapat mengikut arahan dan jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh KADA bagi mengelak kerugian pada musim kemarau.

“KADA dan petani akan bekerjasama memastikan padi yang mula ditanam awal Januari lepas dapat dikutip hasilnya menjelang Mei atau Jun ini,“ katanya. - Bernama