KUALA LUMPUR: Kadar ketidakpadanan pekerjaan siswazah mencatatkan penurunan signifikan kepada 18.2 peratus bagi 2023 berbanding 40.5 peratus pada tahun sebelumnya, menurut data Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata penurunan sebanyak 22.3 peratus itu menunjukkan hasil positif pegawai penempatan pekerjaan Perkeso dengan sokongan Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs dalam menempatkan siswazah dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Perkeso sentiasa berusaha memastikan individu mendapat pekerjaan sepadan kelayakan dan kemahiran. Pelbagai inisiatif dilakukan seperti program intervensi awal di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) seperti penubuhan Pusat Satelit ‘MYFutureJobs’ di IPT dan penganjuran Program ‘Career Launchpad’ (CLP) untuk memacu kebolehpasaran siswazah.

“Perkeso turut memperluas fungsi Portal MYFutureJobs dengan menawarkan jawatan kosong bagi tujuan latihan industri untuk membantu pelajar mendapat penempatan dan sejak 2023 hingga Mac lepas, sebanyak 64,836 kekosongan jawatan untuk latihan industri telah ditawarkan,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan Perkeso hari ini.

Beliau juga berkata Karnival Kerjaya sempena Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan di 54 pejabat Perkeso seluruh negara yang berlangsung dua hari bermula hari ini, menawarkan hampir 10,000 peluang pekerjaan daripada 130 majikan terkemuka.

Selain itu, menurut Abdul Rahman perangkaan Perkeso bagi tempoh 2018 hingga suku pertama 2024 menunjukkan seramai 259,754 pekerja diluluskan untuk menerima bantuan kewangan segera melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dengan 80,521 pekerja yang kehilangan pekerjaan telah kembali ke alam pekerjaan serta 19,149 individu layak menghadiri latihan vokasional.

Program ‘Return To Work’ (RTW) bagi membantu peserta yang cedera atau menghidap penyakit untuk pulih dan kembali bekerja pula menyaksikan 56,698 peserta telah kembali bekerja bagi tempoh 2017 hingga suku pertama 2024.

“Sementara itu hingga minggu pertama April 2024, sebanyak 11,101 personel ‘Malaysia Short-Term Employment Programme’ (MySTEP) yang bertujuan mengintegrasikan kumpulan sasaran ke dalam sektor awam, syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) melalui penawaran pekerjaan jangka pendek telah mendapat pekerjaan,“ katanya.

Program Daya Kerjaya 2.0 yang memberi insentif penggajian untuk menggaji golongan yang lama menganggur dan golongan mudah terjejas seperti Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), miskin tegar, bekas banduan dan individu diparol pula menerima 1,014 permohonan majikan dengan penglibatan 1,741 pekerja, manakala 862 majikan telah menerima manfaat untuk 1,447 pekerja.