PUTRAJAYA: Kadar Kitar Semula Kebangsaan meningkat kepada 31.52 peratus tahun ini berbanding 30.7 peratus pada tahun lepas dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.3 juta tan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (gambar).

“Peningkatan ini memberi indikasi positif yang tahap kesedaran terhadap kitar semula di negara ini semakin meningkat,“ katanya ketika berucap merasmikan Hari Kitar Semula Kebangsaan (HKSK) 2021 di sini, hari ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebelum ini menetapkan sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan sebanyak 40 peratus pada 2025 sebagai usaha mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan awam.

Reezal Merican berkata KPKT kini sedang merangka dasar pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran yang menekankan amalan Penggunaan dan Pengeluaran Mampan (SCP).

“Pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap dan selaras dengan hirarki pengurusan sisa dapat mengurangkan isu kos pengurusan sisa pepejal yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata inisiatif Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR), berjaya mengumpul sisa kitar semula sebanyak 122,592 kilogram (kg) dan sisa makanan berjumlah 25,696kg sejak 2019 hingga kini, dan ia akan diperluaskan bagi menarik lebih banyak penyertaan daripada komuniti.

Menurutnya inisiatif itu dirangka bagi membantu penduduk PPR menjalankan rawatan sisa makanan serta menjual barangan kitar semula melalui kaedah mendapatkan dan penebusan mata ganjaran.

Reezal Merican berkata 654 prasekolah serta 2,129 sekolah rendah dan sekolah menengah telah melaksanakan modul-modul berkaitan kitar semula.

Untuk itu, katanya KPKT akan melebarkan sinergi kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi melibatkan mahasiswa dalam pelbagai aktiviti kitar semula seperti program kesukarelawan dan program Green Campus.

“Kitar semula ini bukan one-man show. Untuk itu, saya telah meminta agar pendekatan membina jaringan bersama rakan strategik diperhebatkan,” katanya. — Bernama