PUTRAJAYA: Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Pendaftaran Pembekal) 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas akan meningkatkan kualiti dan keselamatan produk yang digunakan dalam industri perkhidmatan bekalan air dan pembetungan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan kaedah berkenaan juga memperkukuhkan lagi proses pendaftaran pembekal, selain memastikan pembekal produk memenuhi standard ditetapkan.

Di bawah kaedah itu, tiada seorang pun boleh membekalkan sesuatu pemasangan, peranti atau kelengkapan yang berhubungan dengan sistem bekalan air dan sistem pembetungan tanpa pendaftaran.

Ia turut meliputi pemasangan tangki septik, perpaipan pembetungan dalaman individu atau bersama, melainkan jika seseorang itu telah didaftarkan sebagai pembekal oleh SPAN, menurut kenyataan itu.

Menurut SPAN, seseorang yang disabit kesalahan di bawah kaedah-kaedah ini, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

SPAN juga boleh menggantung atau membatalkan mana-mana sijil pendaftaran yang dikeluarkan jika pembekal tidak mematuhi mana-mana peruntukan akta atau perundangan subsidiarinya atau syarat-syarat yang dikenakan oleh SPAN.

Tindakan berkenaan juga boleh dikenakan sekiranya SPAN menerima aduan yang sahih mengenai pembekal, pemasangan, peranti atau kelengkapan yang dibekalkan oleh pembekal.

SPAN berharap dengan menguatkuasakan kaedah-kaedah ini, pembekal produk sistem bekalan air dan sistem pembetungan dapat dikawal selia secara sistematik.

“Selain itu, produk yang digunakan dalam industri ini mempunyai daya ketahanan dan keselamatan yang berkualiti dengan teknologi yang terkini dalam menjamin kelestarian industri perkhidmatan air,” menurut SPAN.

Dalam usaha mempromosikan pemahaman dan pematuhan terhadap kaedah baharu itu, SPAN telah menganjurkan “Forum Peranan Kawal Selia SPAN Terhadap Pembekal Produk Industri Perkhidmatan Air” yang berlangsung semasa Pameran Asia Water 2024 pada akhir April lepas.

“Forum ini telah menarik penyertaan lebih dari 200 orang peserta daripada agensi kerajaan, operator-operator air dan pembetungan, badan pensijilan, badan penilai dan pembekal yang berkaitan dengan perkhidmatan air di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.