KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki warga Thailand ditemukan lemas di Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.18 petang memaklumkan mangsa yang beralamat di Kampung Ibrahim Pencen, Rantau Panjang telah hilang di sungai itu.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan Azmi Jaafar yang turut dibantu pihak polis Thailand dan orang kampung di sempadan negara itu.

“Pihak skuba Thailand telah hadir ke lokasi pada 6.45 petang itu dan melakukan selaman SAR, selain dibantu pasukan Pasukan Penyelamat di Air Pengkalan Kubor, di sini, sebelum mangsa dijumpai pada 10.38 malam tadi oleh pihak skuba Thailand di sebelah sempadan negara itu.

“Kanak-kanak berusia 11 tahun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Thailand dan komander operasi telah menyerahkannya kepada pihak polis Thailand,” katanya dalam kenyataan tengah malam tadi.