JOHOR BAHRU: Sebuah kapal dagang yang membawa masuk kopra atau isi kelapa kering seberat 160 tan dari Indonesia yang mempunyai serangga perosak di Jeti Batu Pahat, telah diarah berpatah balik, semalam.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor Edie Putra Md Yusof berkata ia dibuat susulan pemeriksaan dijalankan pegawai penguat kuasa jabatan itu kira-kira pukul 12 tengah hari di jeti tersebut, Khamis lepas.

Susulan pemeriksaan tersebut, jabatan itu menemui serangga perosak disyaki ‘Red Legged Ham Beetle” pada dagangan kopra yang dianggarkan bernilai RM272,000 itu, katanya.

“Oleh itu, dagangan berkenaan tidak dibenarkan masuk bagi mengelakkan penyebaran perosak yang boleh menjejaskan industri kelapa negara. Kapal tersebut ditolak kemasukannya dan perlu (kembali) ke negara asal iaitu Indonesia.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian yang berperosak adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14, akta yang sama,“ katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya.

Edie Putra berkata MAQIS sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menyekat kehadiran serangga perosak, penyakit atau bahan cemar yang boleh menyebabkan kemerebakan, penularan serta berbahaya terhadap industri pertanian negara. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image