KOTA BHARU: Jabatan Kastam Kelantan merampas 400 paket ayam beku seberat 6,000 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM90,000 selepas menyerbu sebuah syarikat penjualan ayam gunting tanpa permit di Machang di sini, dua hari lepas.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata seorang lelaki ditahan dalam serbuan yang dilancarkan hasil maklumat cawangan risikan zon timur itu.

Beliau berkata nilai duti bagi ayam berkenaan dianggarkan RM36,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Kastam ingin menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam di talian 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat disemua negeri.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini. - Bernama