BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas sembilan juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM7.92 juta termasuk cukai, dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang, Selangor pada 7 Mac lepas.

Pengarah JKDM negeri Roselan Ramli berkata rokok berkenaan ditemukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang ditahan ketika berlabuh di pelabuhan itu kira-kira 10.40 pagi.

“Hasil pemeriksaan rapi ke atas kontena tersebut telah menemukan sebanyak 900 kotak mengandungi sembilan juta batang rokok putih disyaki tidak berkastam bernilai anggaran RM1.8 juta dan cukai RM6.12 juta,” katanya pada sidang media di stor penguatkuasaan Bagan Jermal, di sini hari ini.

Roselan berkata kontena itu disyaki berasal dari negara di Asia Tenggara dan dikendalikan oleh syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang serta diimport oleh sebuah syarikat berstatus sendirian berhad di Selangor.

Menurutnya modus operandi digunakan adalah dengan mengikrar dagangan itu sebagai perabot bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata rokok tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan bagi kegunaan pekerja di ladang dan tapak pembinaan, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek yang terlibat.

Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. - Bernama