JOHOR BAHRU: Taktik suatu sindiket menggunakan kotak mainan untuk menyeludup rokok berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melibatkan rampasan lebih 22 juta batang rokok di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada 26 Mac dan 4 April lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Sazali Mohamed berkata kesemua rampasan termasuk mainan plastik dan cukai bernilai RM18.5 juta.

“Rampasan pertama melibatkan sebuah kontena yang mengandungi 924 kotak berisi 11.08 juta batang rokok putih bersama 36 kotak mainan, manakala rampasan kedua melibatkan satu lagi kontena yang mengandungi 915 kotak berisi 10.98 juta batang rokok bersama 33 kotak mainan.

“Kedua-dua kontena ini dipercayai milik sindiket sama. Usaha mengesan pemilik barangan dagangan itu sedang giat dijalankan dengan kedua-dua kontena sedang dalam perjalanan menuju Mexico dari Kemboja. Kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967,“ katanya pada sidang media di Menara Kastam Johor di sini hari ini.

Sazali turut memaklumkan kejayaan pihaknya mematahkan cubaan tiga lelaki membawa keluar minuman keras tidak bercukai menggunakan tiga kenderaan berbeza dari Forest City, Iskandar Puteri pada 10 malam, Isnin lepas.

Beliau berkata ketiga-tiga kenderaan itu ditahan di Lebuhraya Iskandar Puteri dan Jalan Utama Kampung Baru Senai dengan dua daripada suspek berusia 20an dan 30an berjaya ditahan, manakala seorang lagi melarikan diri.

“Pemeriksaan dibuat mendapati ketiga-tiga kenderaan itu sarat membawa minuman keras yang ditutup dengan kain hitam.

“Sebanyak 14,400 tin minuman keras bernilai RM38,410 dengan cukai sebanyak RM104,915 berjaya disita,“ katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata pihaknya juga menghentikan operasi pembuatan arak haram di sebuah rumah teres di Skudai di sini menerusi serbuan pada 1 tengah hari, 2 April lepas.

Pelbagai jenama arak, setem Kastam palsu serta alatan memproses dan membotolkan arak dijumpai melibatkan rampasan minuman keras bernilai RM41,391 dengan anggaran duti RM111,720 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976, katanya.