TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan seorang lelaki tempatan yang cuba menyeludup keluar lebih lapan kilogram dadah bernilai RM177,120.60 dalam operasi Mekong Dragon VI di Jeti Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Lama di sini pada Khamis lepas.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman berkata lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada 2.36 petang selepas berkelakuan mencurigakan sambil membawa satu bungkusan kotak berwarna coklat.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua paket teh cina yang berisi 5.0658 kilogram di dalam kotak berkenaan disyaki dadah jenis Methamphetamine serta 1,001 biji atau 3.003 kilogram pil Ecstasy. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,“ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nasir berkata kesemua dadah berkenaan dipercayai dibawa dari luar negara dan untuk pasaran tempatan selain pihaknya kini giat melakukan penyiasatan jika kes berkenaan membabitkan sindiket.

“Ketika ditahan suspek dalam perjalanan dari tanah besar Tawau menuju ke Pulau Sebatik dan kini direman selama 14 hari untuk siasatan,“ katanya.