KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua pihak agar mengawal diri daripada menulis atau menyentuh isu 3R iaitu raja, agama dan kaum kerana terlalu banyak berita sedemikan dijadikan polemik dalam pelbagai platform pada masa kini.

Malah, beliau turut mengingatkan agar tiada pihak yang menulis secara semberono, sebaliknya melihat secara mendalam kesannya kerana Malaysia mempunyai berbilang kaum, agama dan bangsa.

“Oleh kerana perkara-perkara 3R ini terlalu banyak dijadikan polemik dan perdebatan maka kita harus tahu sensitiviti tiga perkara ini.

“Pada hemat saya, harus terdapat keseimbangan dan biarlah tidak perlu perundangan untuk mengawal tetapi kita kawal diri terutamanya penulis-penulis yang harus menggunakan sesuatu yang tidak sensitif untuk disampaikan dan bukan semberono menulis apa saja yang ada di benak kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Majlis Aidilfitri bersama-sama penulis di sini yang dihadiri kira-kira 500 tetamu termasuk penggiat sasterawan.

Ahmad Zahid yang turut diminta mengulas kedudukan terkini Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media pada tangga ke-107 berdasarkan Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Reporters Without Borders (RSF) pada Jumaat, turut mengakui bahawa elemen 3R memberi kesan langsung kepada kedudukan terkini Malaysia itu.

Dalam perkara itu, katanya Kementerian Komunikasi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) disarankan melakukan sesuatu yang lebih baik agar soal kebebasan media ini dapat ditingkatkan semula dengan kawalan diri yang dibuat oleh penulis-penulis ataupun individu yang menyebarkan perkara-perkara sensitif kepada masyarakat di Malaysia.

Ahmad Zahid juga memaklumkan Malaysia tidak boleh menggunakan acuan sesebuah negara itu sebagai piawaian kepada negara ini dengan perlu melihat kesesuaian keadaan sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama serta institusi raja.

“Pada hemat saya ia harus disantuni oleh masyarakat Malaysia daripada apa pun,“ katanya.