KUALA NERUS: Pengendali Terengganu FC (TFC) Tomislav Steinbruckner mengakui masalah kecederaan yang menimpa beberapa tonggak utama menjejaskan persiapan pasukannya menjelang perlawanan pertama Liga Super, Sabtu ini.

Tiga pemain yang cedera ialah penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Matthew Steenvoorden selain Akhyar Rashid yang masih trauma selepas terlibat insiden samun baru-baru ini.

Beliau berkata bagaimanapun tonggak pertahanannya Azam Azmi yang berehat panjang akibat kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya Mac lepas, sudah kembali menjalani latihan bersama pasukan selama beberapa hari.

“”Keseluruhannya saya berpuas hati dengan cara kami bekerja. Beberapa pemain terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan tetapi selebihnya telah bersiap sedia untuk perlawanan pertama. Steenvoorden tidak akan turun untuk sebulan, Ivan juga untuk jangka masa panjang. Saya rasa kedua-dua tidak akan diturunkan untuk tiga pusingan.

“Bagi Akhyar, saya rasa beliau akan kembali selepas perlawanan pertama dengan Perak FC pada Sabtu. Beliau masih belum cergas dan mempunyai masalah pada kepala dan sedikit trauma akibat insiden malang itu,“ katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini.

TFC bakal berdepan skuad The Bos Gaurus pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Sabtu ini.

Steinbruckner berkata beliau menjangkakan saingan sengit daripada skuad kendalian Yusri Che Lah yang dilihat jauh lebih baik berbanding musim lepas.

Justeru, beliau meletakkan sandaran pada pemain import kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade untuk mengetuai jentera serangan skuad Penyu.

“Saya menonton beberapa perlawanan persahabatan mereka (Perak FC). Mereka bermain lebih baik berbanding musim lepas. Jadi saya menjangkakan perlawanan sukar Sabtu ini.