KUALA LUMPUR: Kedudukan Universiti Teknologi Petronas (UTP) terus meningkat secara signifikan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings 2023 apabila melonjak 53 anak tangga ke kedudukan ke-361 daripada ke-414 sebelum ini.

Naib canselor UTP Prof Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib berkata kedudukan itu turut meletakkan universiti itu dalam kelompok 26 peratus universiti-universiti terbaik di dunia.

Beliau berkata prestasi tersebut dipacu oleh pemetikan, nisbah fakulti/pelajar dan fakulti antarabangsa yang menunjukkan reputasi kukuh universiti itu secara global dalam kecemerlangan akademik, output penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

“Ini adalah bukti dedikasi UTP sebagai institusi bertaraf dunia yang komited terhadap kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pengalaman pelajar.

“Ini berjaya dilakukan atas sokongan tanpa jemu daripada Petronas dan pihak yang bekerjasama dengan kami, usaha berterusan kepimpinan universiti dan pasukan pengurusan, hasil kerja cemerlang anggota fakulti dan kerja keras para pelajar kami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Ibrahim berkata UTP akan terus menerajui kecemerlangan dalam akademik, penyelidikan dan pengalaman pelajar untuk menghasilkan masyarakat yang bersedia menghadapi dunia global dan bertanggungjawab.

“Bagi penyelidikan dan inovasi, kami akan menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih (NZCE) sebagai salah satu bidang utama kami dalam usaha menjadi institusi lestari terkemuka pada peringkat global,” tambahnya.

Beliau berkata UTP secara konsisten disenaraikan dalam ranking dan rating dunia dan kebangsaan seperti Times Higher Education (THE), Malaysia Research Assessment Rating System (MyRA) dan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Negara (SETARA).

Dalam QS Asia World University Rankings UTP berada pada kedudukan ke-72, manakala dalam QS World University Rankings by Subject 2022, universiti itu berada pada kedudukan ke-159 untuk subjek dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi.

Pencapaian UTP lain termasuk berada pada kedudukan ke-119 dalam Ranking Universiti Muda THE 2022, ranking ke-95 dalam Ranking Universiti Asia THE 2022 dan ke-60 dalam THE Emerging Economies University Rankings 2022.

Bagi ranking dan rating tempatan, UTP mengekalkan penarafan enam bintang (tahap prestasi tertinggi) dalam MyRA untuk program pembangunan penyelidikan dan pengkomersialan.

Selain itu, universiti tersebut menerima status enam bintang atau cemerlang dalam SETARA atas pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatannya.

Mohamed Ibrahim berkata pencapaian konsisten UTP dalam ranking dan rating kebangsaan dan antarabangsa, mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti swasta nombor satu di negara ini. — Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image