PETALING JAYA: Yayasan Komuniti Wanita Dalam Sukan Malaysia (FOWCUS) berharap kejayaan gandingan Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2022, menjadi pembakar semangat untuk atlet wanita yang lain melakar kecemerlangan sama.

Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata kejayaan gandingan Pandelela-Nur Dhabitah membuktikan bahawa golongan wanita Malaysia juga boleh memberikan sumbangan yang besar buat negara.

“Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada Datuk Pandelela dan Nur Dhabitah yang berjaya memenangi pingat gangsa acara 10 meter platform seirama di Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2022 di Budapest, Hungary, lewat malam Khamis lalu.

“Saya dan FOWCUS mengagumi Datuk Pandelela yang memenangi dua pingat gangsa dalam edisi kali ini selepas terdahulu memenanginya dalam acara 10m platform individu. Kejayaan ini bukan datang bergolek, sebaliknya atas pengorbanan dan usaha yang tidak henti-henti,“ katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pandelela telah merangkul puluhan pingat sejak kemunculan pertamanya di pentas sukan antarabangsa pada 2007 ketika berusia 14 tahun. Aksi cemerlangnya tidak dinafikan lagi apabila memenangi dua pingat dari Olimpik dan tujuh dari kejohanan dunia, tidak termasuk dua kejayaan di Hungary.

Zuraida turut menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada seorang lagi Nur Dhabitah, atlet wanita sedang meningkat naik yang menjadi pasangan Pandelela untuk acara di Budapest bagi membawa pulang pingat sulung buat beliau dari kejohanan akuatik dunia.

“Selamat maju jaya buat Datuk Pandelela, Nur Dhabitah dan seorang lagi atlet terjun wanita negara, Ng Yan Yee serta semua atlet wanita kita yang berjuang untuk negara tercinta,“ tambah beliau.