KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) hari ini menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa rantaian bekalan ayam tempatan berada dalam keadaan tidak terkawal.

MAFI dalam kenyataan hari ini memaklumkan laporan itu tidak disokong fakta tepat serta boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan dalam mengatasi isu kekurangan bekalan ayam di pasaran tempatan dan mengawal kenaikan harga jualan runcit ayam pada masa kini.

MAFI menegaskan kerajaan kini giat melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi memastikan industri ternakan ayam kekal berdaya saing dan menjamin sekuriti bekalan makanan negara demi kebajikan rakyat.

Menurut kenyataan itu, antara usaha kerajaan ialah Inisiatif Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia bagi daging ayam dan telur dan ia tidak menjadi punca kepada pihak ladang untuk mengurangkan pengeluaran ayam dan telur.

Menurut MAFI, berikutan peningkatan mendadak penggunaan daging ayam dan telur terutama dalam sektor komersial selepas penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan juga telah memberi kebenaran untuk mengimport ayam bulat dengan memberi kelulusan kepada 36 syarikat termasuk pasar raya.

“Keputusan ini bagi memastikan keperluan negara mencukupi dan mencapai kestabilan dan ia hanya boleh dilaksanakan sehingga Mei 2022,“ menurut kenyataan itu di sini.

Menurut kementerian itu, permohonan untuk mendapatkan permit import (AP) boleh dibuat oleh mana-mana syarikat dan akan diberi kelulusan jika memenuhi syarat-syarat ditetapkan, tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, MAFI berkata kerajaan turut menawarkan skim pembiayaan mudah dengan kadar faedah yang rendah kepada penggiat industri ternakan ayam dan pemberian subsidi kepada penternak ayam bagi mengurangkan impak kenaikan kos input pengeluaran seperti makanan ternakan.

“Kerajaan sentiasa cakna terhadap permasalahan yang dihadapi oleh pemain industri pertanian khususnya sektor ternakan bagi menjamin sekuriti makanan negara,“ menurut kenyataan itu. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image