KUALA LUMPUR: Kenyataan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berhubung pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] tidak berpelembagaan dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, adalah mengelirukan serta boleh menimbulkan suasana tidak harmoni dalam negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam kenyataan hari ini, menasihatkan semua pihak untuk menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 29 Dis tahun lepas, supaya rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam, menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

“Semua pihak digesa untuk tidak memberikan sebarang kenyataan yang bersifat spekulatif dan pre-emptive, berhubung dengan cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 ini, tatkala ia masih belum dibentangkan di Parlimen.

“Setelah ia dibentangkan, kesemua Ahli Parlimen akan diberikan ruang yang secukupnya bagi membahaskan berkenaan pindaan ini,” katanya.

Mohd Na’im juga berkata semua pihak perlu merujuk kepada Fasal (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama dengan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, yang mana selaras dengan peruntukan tersebut Mahkamah Syariah telah ditubuhkan melalui Akta/Enakmen/Ordinan di negeri-negeri.

Beliau berkata bagi maksud menangani kesalahan di bawah hukum syarak, Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang beragama Islam dan hanya berkenaan dengan semua perkara yang termasuk dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan setakat yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan, sebagaimana yang dinyatakan dalam butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Selaras dengan peruntukan itu, Mohd Na’im berkata Parlimen telah membuat Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, yang memberikan bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah.

Beliau berkata berdasarkan butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan, terdapat antara dua perkara utama yang digariskan.

Pertama, kuasa badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman, bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Kedua, bidang kuasa mengenai hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan.

“Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada badan perundangan negeri untuk menggubal undang-undang di negeri-negeri, bagi mewujudkan kesalahan dan hukuman bagi kesalahan oleh orang yang beragama Islam terhadap perintah agama Islam, kecuali berkenaan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

“Walaupun kesalahan jenayah syariah diperbuat oleh Badan Perundangan Negeri, perlu difahami bahawa hukuman bagi kesalahan yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri hendaklah dalam had yang diberikan oleh undang-undang Persekutuan iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965,” katanya.

Mohd Na’im berkata cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, tidak boleh ditafsirkan sebagai membenarkan badan perundangan negeri untuk mewujudkan kesalahan dan hukuman berkenaan dengan perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata ini kerana, badan perundangan negeri hendaklah tertakluk kepada bidang kuasa perundangan yang diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 74 dan butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan.

“Apa jua cadangan pindaan yang dibuat kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak akan mengubah kuasa perundangan yang telah pun diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada badan perundangan negeri,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Na’im berkata Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) komited untuk memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah dan undang-undang Syariah di negara ini berdasarkan kerangka Perlembagaan Persekutuan.