KOTA BHARU: Keputusan ujian sampel menu makanan yang dipercayai menyebabkan keracunan 75 pelajar di sebuah sekolah di sini pada 20 Mac lepas akan diterima dalam tempoh terdekat.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata 58 pelajar lain turut mengalami kesan sama empat hari kemudian tetapi hanya kesan ringan, menjadikan keseluruhan pelajar yang terkesan sebanyak 133 orang.

“Kita telah mengambil sampel menu itu dan keputusannya dijangka diperolehi dalam masa terdekat, namun berdasarkan siasatan secara epimologi...kita dapati keracunan itu berpunca daripada lauk ayam yang disajikan,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Pantun Kesihatan Anjuran Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Imedikel, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah mengenakan kompaun ke atas pengusaha kantin sekolah berkenaan selain memberi penerangan berhubung pengurusan makanan yang betul kepada pihak terbabit.

Berhubung status pengoperasian kantin itu, beliau berkata keputusan atau kebenaran untuk menjalankan perniagaan akan ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Sebelum ini, media melaporkan 75 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun di sebuah sekolah di sini mengalami keracunan makanan selepas menikmati nasi bungkus bersama kuah gulai dan ayam goreng yang disediakan oleh pengusaha kantin.

Sementara itu, mengenai cuaca panas, Dr Zaini menasihati masyarakat terutamanya warga emas, kanak-kanak, ibu hamil dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan supaya terus mengambil langkah berwaspada dalam menghadapi cuaca panas yang sedang melanda Kelantan.

“Setakat ini, tiada lagi tambahan kes baharu strok haba membabitkan cuaca panas direkodkan selepas kematian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun pada 1 April lepas.

“Namun hampir tiga minggu Kelantan tidak hujan dan cuaca sangat panas, kita harap semua pihak mengambil langkah waspada dan penganjuran rumah terbuka, majlis raya dan kenduri dapat dirancang dengan baik agar tidak menjejaskan kesihatan,“ katanya.

Hari ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dilapor berkata cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga Julai depan.

Situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain.