JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menggesa Ranhill SAJ untuk segera menangani isu gangguan bekalan air yang masih berlaku pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata operator bekalan air di Johor itu perlu mengambil tindakan proaktif dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan ke tahap maksimum demi kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri menzahirkan rasa kesal di atas aduan gangguan bekalan air yang masih berlaku pada musim perayaan Aidifitri ini.

“Gangguan bekalan air yang berlaku setiap tahun ini pastinya telah menjejaskan persiapan menyambut Aidilfitri buat bangsa Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.

Beliau berkata pihak pengurusan tertinggi Ranhill SAJ sebelum ini telah memberikan komitmen bagi memastikan tiada isu gangguan dan catuan bekalan air berlaku sepanjang musim perayaan dan diminta untuk membuat persediaan serta tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun menurutnya, pelbagai aduan yang diterima berhubung isu itu telah menimbulkan persoalan terhadap keupayaan Ranhill SAJ dalam menangani gangguan bekalan air yang berlaku saban tahun.

Baru-baru ini seramai 300 penduduk Kampung Sri Muar dan Kampung Agas di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai dekat Kulai, terputus bekalan air dan hanya bergantung kepada perkhidmatan lori tangki.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata mereka merupakan sebahagian daripada lebih 1,000 penduduk termasuk di Gugusan Murni Jaya, FELDA Bukit Permai dan sekitarnya yang mengalami gangguan bekalan air menjelang Aidilfitri.

Mohd Jafni yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata gangguan bekalan air itu berlaku sejak belasan tahun dan lebih kritikal ketika musim perayaan.