PUTRAJAYA: Kerajaan akan melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa ini (7 Mei).

Beliau berkata peluncuran NACS itu merupakan langkah kerajaan dalam membangunkan suatu strategi pembanterasan rasuah selari dengan Artikel 5 United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang menetapkan semua negara anggota termasuk Malaysia untuk menghasilkan satu dokumen bagi rujukan utama inisiatif-inisiatif antirasuah di peringkat nasional.

“NACP yang berakhir pada 2023 telah dikenal pasti sebagai salah satu faktor secara tidak langsung yang membantu kejayaan memperbaiki reputasi negara dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2019 di mana Malaysia melonjak ke tangga ke-51 berbanding kedudukan ke-61 pada 2018.

“Atas faktor ini, NACS dibangunkan dengan memberi penekanan kepada lima strategi utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan dan insentif,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Azam berkata bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan NACS, satu mekanisme pemantauan yang menyeluruh akan diwujudkan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) SPRM.

Beliau berkata Laporan Pemantauan dan Penilaian mengenai NACS akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk diperakukan sebelum dikemukakan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Parlimen.

Katanya SPRM menerusi BPGN bersiap sedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab menyelaraskan pelbagai rancangan di bawah strategi terkandung dalam NACS.

Beliau berkata SPRM meletakkan harapan tinggi bagi mendapatkan kerjasama semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan NACS bagi tempoh lima tahun akan datang selaras hasrat untuk mencapai aspirasi nasional iaitu Membangun Malaysia MADANI.