KUALA LUMPUR: Setiap kerajaan negeri diingatkan agar mematuhi pelaksanaan moratorium pengeksportan bahan mentah unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang dikuatkuasakan sejak 1 Jan lepas, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata surat peringatan mengenai perkara itu telah dikeluarkan kepada semua kerajaan negeri pada 6 Mac lepas.

“Pelaksanaan moratorium ini telah dimaklumkan kepada semua kerajaan negeri melalui edaran surat bertarikh 20 Dis 2023. Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima kementerian mendapat permintaan daripada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan semula pelaksanaan moratorium tersebut.

“Berhubung perkara itu, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) semasa Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Feb telah menegaskan bahawa pihak kerajaan negeri perlu mematuhi dasar sedia ada khususnya berkaitan pelaksanaan operasi perlombongan pengeksportan NR-REE yang berada di bawah bidang kuasa Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri bagi menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung status larangan eksport nadir bumi pada ketika berlakunya peralihan teknologi bagi pemprosesan dan industri hilirannya.-Bernama