SUNGAI PETANI: Kes denggi di Kedah berada pada tahap membimbangkan apabila sejumlah 1,550 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-16 tahun ini berbanding 1,301 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mejar (B) Mansor Zakaria berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 19.1 peratus atau 249 kes.

Beliau berkata terdapat empat kes kematian denggi bagi tempoh tersebut berbanding sifar kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Susulan peningkatan kes, trend peningkatan wabak juga berlaku iaitu hingga ME ke-16 tahun ini sebanyak 136 wabak denggi direkodkan di negeri Kedah berbanding 121 wabak denggi dalam tempoh yang sama pada 2023 iaitu peningkatan 12.4 peratus.

“Justeru, peningkatan kes dan kematian berterusan ini memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada masyarakat serta pihak berwajib dalam usaha menanganinya,” katanya kepada pemberita semasa meninjau satu daripada lokaliti “hotspot” denggi di Taman Sejati Indah di sini hari ini.

Mansor berkata bagi seluruh negeri Kedah bermula Januari lepas hingga kini, sejumlah 95,307 premis telah diperiksa dengan 6,297 premis dikesan mempunyai tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Sehubungan itu, menurutnya sebanyak 1,756 notis kompaun dengan nilai RM848,900 dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah dengan kerjasama Kerajaan Negeri memperkenalkan Kod QR Pemeriksaan Tempat Pembiakan Aedes Kendiri bagi menggalakkan penduduk memeriksa tempat pembiakan Aedes di kediaman sendiri, sejak Januari lepas.

Menurutnya sebagai permulaan inisiatif ini melibatkan penduduk di beberapa lokaliti berisiko dan akan diperluaskan ke seluruh negeri ini pada masa akan datang.

“Kod QR tersebut memberi panduan tempat berisiko pembiakan Aedes dan membolehkan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan direkodkan. Data penggunaan kod QR ini akan dipantau dan dinilai JKN bagi pemberian insentif pencapaian di peringkat individu dan komuniti oleh kerajaan negeri bagi membudayakan tingkah laku menjaga kebersihan rumah setiap minggu,” katanya.