IPOH: Jumlah kes jenayah komersial di Perak sejak awal tahun ini hingga Ahad lepas masih menunjukkan peningkatan kepada 1,813 kes berbanding 1,748 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata nilai kerugian keseluruhan turut meningkat kepada lebih RM58 juta berbanding lebih RM37 juta pada 2020.

“Kita berjaya menangkap seramai 1,123 orang pada tahun lepas dan 1,112 orang yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu (jenayah komersial) pada tahun ini,“ katanya pada sidang media Program Profil Kepolisan Tinggi (HPP) sempena Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Tahun 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata jenis kes jenayah komersial paling tinggi dicatatkan adalah jenayah dalam talian termasuk penipuan jual beli barang melalui Internet, pinjaman tidak wujud, penipuan pelaburan, Macau Scam, African Scam dan Business Email Compromise (BEC).

Menurutnya, daripada jumlah kes komersial yang dilaporkan pada tahun ini, 1,057 merupakan kejadian jenayah dalam talian dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM25 juta dan melibatkan tangkapan seramai 682 orang.

“Bagi tahun lepas pula, sebanyak 1,117 kejadian jenayah dalam talian dilaporkan bagi tempoh sama dengan nilai kerugian keseluruhan lebih RM24 juta dan seramai 673 orang berjaya ditangkap,“ katanya.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka kertas siasatan di bawah orang hilang terhadap kes anak gadis seorang guru tadika Indira Ghandhi dan bekas suaminya 12 tahun lepas.

Beliau berkata siasatan kes itu telah dijalankan dan polis masih meneruskan usaha mengesan bekas suami dan anaknya yang dilaporkan hilang.

Wanita itu dilaporkan meminta supaya kes berkenaan diklasifikasikan semula sebagai orang hilang susulan lokasi anaknya masih gagal dikesan.

Indira sebelum ini telah membuat dua laporan polis pada September 2019 dan April 2020 di Putrajaya supaya kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang. — Bernama