IPOH: Polis Perak telah merakam percakapan 11 individu berhubung nota ugutan yang diterima Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming daripada individu tidak dikenali pada 7 Mac lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara yang dirakam percakapan adalah kalangan anggota keluarga terdekat serta jiran kepada ahli Parlimen Teluk Intan itu.

“Kita juga telah periksa kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tol Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) serta stesen minyak berhampiran kawasan kediaman keluarga beliau (Nga Kor Ming).

“Siasatan masih diteruskan dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu untuk tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ke-217 Tahun 2024 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Pada 7 Mac lepas media melaporkan kediaman ibu bapa kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu di Jalan Ling Sing Hang dekat Ayer Tawar di sini ditaburi kertas yang tertulis nota berunsur ugutan.

Nota ugutan terhadap Kor Ming itu juga ditemukan ibu beliau di hadapan rumah keluarga beliau di Ayer Tawar, Manjung dekat sini sekitar pukul 7.30 pagi.

Sementara itu Mohd Yusri berkata pihaknya telah memproses 443 permohonan permit bagi penjualan bunga api dan mercun sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 217 permit diluluskan, 225 masih dalam proses semakan dan satu tidak diluluskan ekoran pemohon mempunyai rekod jenayah lampau.