KANGAR: Polis Perlis meningkatkan kawalan dan pemantauan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di lorong-lorong tikus untuk memastikan suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi tadi tidak meloloskan diri dari negara ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pihaknya melakukan koordinasi dengan Bukit Aman dan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi tujuan kawalan dan pemantauan.

“Kita buat pemantauan di jalan-jalan masuk dan di garisan sempadan terutama lorong tikus...juga elemen lain untuk bantu Bukit Aman mengesan suspek,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, seorang lelaki melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi kepada isterinya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilapor berkata polis telah melancarkan operasi mengesan suspek selain mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah di kawasan negeri berhampiran serta sempadan negara untuk menjejaknya.

Dalam pada itu Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata pihaknya turut mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan bagi memastikan suspek kes itu tidak terlepas ke negara jiran.

“Polis Kontinjen Kedah akan menyalurkan sebarang maklumat yang diperolehi berkaitan suspek, sekatan jalan raya juga sememangnya sudah dilaksanakan di kawasan sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kuala Muda antara ACP Zaidy Che Hassan kepada ACP Wan Azharuddin Wan Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini.