KUALA LUMPUR: Ketua-ketua kerajaan negeri berharap Aidilfitri yang disambut esok diraikan secara sederhana dan mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan perjuangan saudara Islam di Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis.

Di Selangor, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengajak rakyat untuk meneruskan amalan baik yang dipupuk sepanjang Ramadan seperti menyantuni golongan fakir, anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan.

Beliau berkata kesederhanaan perlu ditampilkan bukan sahaja melalui tindakan tetapi juga menerusi akal budi dan fikiran supaya generasi muda dapat mewarisi budaya serta akhlak yang serupa sekali gus melahirkan generasi yang bermaruah dan berwawasan.

Di Terengganu, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut senada dengan berkata Aidilfitri akan menjadi lebih bermakna sekiranya disambut penuh sederhana berdasarkan situasi kebanyakan rakyat Malaysia ketika ini, sambil menasihatkan ibu bapa untuk turut meletakkan keutamaan kepada perbelanjaan sekolah anak-anak selain persiapan lebaran.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar tidak melupakan rakyat di Palestin yang masih berjuang mempertahankan tanah air mereka.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad juga mengingatkan masyarakat supaya tidak sesekali melupakan perjuangan saudara Islam di Palestin dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, sambil berkata titipan doa merupakan senjata paling mustajab agar Allah SWT sentiasa melindungi mereka daripada kezaliman Zionis.

“Dalam kita bergembira di Aidilfitri jangan lupa doa kepada yang telah tiada, titipkan juga doa kepada saudara-mara kita di Palestin yang sedang diuji dengan derita, dizalimi dan dihalau dari tanah air sendiri,” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, di Pulau Pinang, Ketua Menteri Chow Kon Yeow meminta rakyat untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan mengeratkan ikatan silaturahim tanpa mengira latar belakang anutan agama, bangsa, politik mahupun budaya sempena sambutan Aidilfitri.

Dalam perutusannya, beliau berharap untuk terus menyaksikan nilai-nilai kasih sayang, perpaduan, toleransi dan meraikan kepelbagaian yang lama berakar umbi di negeri itu terus mekar agar pembangunan negeri lebih menyeluruh dengan kemantapan nilai kemanusiaan.

Di Melaka, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan negeri bersetuju melaksanakan beberapa inisiatif sempena meraikan Aidilfitri pada tahun ini termasuk parkir percuma selama seminggu dan pengurangan kadar kompaun serta saman di empat kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata inisiatif lain ialah penangguhan aktiviti pemotongan bekalan air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan kepada setiap ahli keluarga di Melaka dalam meraikan Aidilfitri,” katanya menerusi laman Facebook malam ini.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun mendoakan Aidilfitri tahun ini lebih bermakna buat seluruh rakyat di negeri itu dan menyambutnya dalam suasana yang gembira bersama keluarga tercinta, sambil menggalakkan tradisi kunjung-mengunjung bagi memperkukuhkan silaturahim dan perpaduan.

“Saya dengan rendah diri ingin menyusun jari memohon kemaafan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan atas segala kekhilafan saya sepanjang mentadbir negeri ini. Sesungguhnya, amanah berat ini sentiasa saya jaga kerana ia mengajar saya erti sebenar menjaga amanah rakyat yang mempunyai pelbagai latar belakang,“ katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam perutusannya mengalu-alukan kepulangan anak-anak Kedah dari perantauan untuk berhari raya di kampung halaman, sambil mengingatkan warga negeri itu agar berhati-hati ketika di jalan raya.

“Walaupun hari raya sinonim dengan kegembiraan, janganlah kita berlebihan dalam meraikannya kerana dalam Islam disyariatkan sebagai suatu ibadah bukannya tradisi budaya semata-mata. Saya juga meminta semua anak Kedah supaya menjaga keselamatan terutama di jalan raya,” katanya.

Di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengajak seluruh rakyat bersama-sama mengukuhkan lagi perpaduan dan mengelakkan persengketaan yang berupaya menghancurkan keharmonian yang terbina sekian lama.

“Sempena hari yang mulia ini, marilah kita bermaaf-maafan dan bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana yang penuh kesyukuran, gembira, muhibah dan saling menghormati. Semoga Aidilfitri pada kali ini membawa rahmat dan keberkatan kepada kita semua,“ katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Raya serta maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat di negeri itu.

Di Perlis, Menteri Besar Mohd Shukri Ramli dalam perutusan Aidilfitri yang dimuat naik dalam Facebook beliau malam ini berharap umat Islam menyambut perayaan kali ini dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan dengan mengelakkan pembaziran serta berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.

Di Kelantan, Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud pula berkata kerajaan negeri akan terus mempraktikkan strategi penghayatan ‘Membangun Bersama Islam’ bagi memartabatkan dasar Islam dalam apa juga aspek.

Justeru, beliau menyeru seluruh masyarakat di Kelantan yang sudah mahupun belum berkeluarga untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri dalam menjayakan misi itu serta menghidupkan sambutan Aidilfitri dengan ibadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat sunat hari raya, berzikir, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan bersedekah.