BUTTERWORTH: Kilang berusia 120 tahun milik Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) di sini mungkin sedang melewati tempoh yang kian suram sebaliknya prospek keseluruhan syarikat kekal utuh apabila kilang di Pulau Indah, Selangor mencapai kapasiti penuh untuk memenuhi permintaan global terhadap timah yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MSC, Raveentiran Krishnan berkata kilang baharu itu sedang meningkatkan pengeluaran ketika ini dan memerlukan masa yang lebih panjang untuk mencapai kapasiti penuh.

“Kami akan perlahan-lahan menamatkan operasi kilang peleburan di sini dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang dan kemudian memindahkan operasi ke Pulau Indah.

“Kilang peleburan lama itu kemudiannya akan dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembangunan komersial dan perumahan di kawasan ini,” katanya kepada Bernama.

Kilang peleburan ikonik yang dibangunkan pada 1902 oleh The Straits Trading Company itu pernah menjadi penyumbang penting kepada ekonomi negara.

Ia mengharungi dan cekal bertahan dalam ujian dan cabaran pelbagai peristiwa penting seperti Perang Dunia Kedua dan krisis harga timah 1985, yang membawa kepada kejatuhan Persatuan Negara-negara Pengeluar Timah (ATPC).

Beliau berkata ketika Jepun menawan kilang itu semasa Perang Dunia Kedua, operasi peleburan timah di kilang itu terpaksa dihentikan sepenuhnya kerana ia digunakan untuk menghasilkan sebahagian komponen jentera perang mereka termasuk basikal, motosikal dan kenderaan bagi memudahkan peperangan mereka di Tanah Melayu.

Turun Naik Pasaran Timah

Meskipun pasaran timah mengalami kejatuhan pada 1985 apabila ATPC tidak lagi dapat mengawal harga, MSC berjaya meneruskan operasi di kilangnya di sini dengan berdepan segala kemungkinan.

“Pasaran musnah dan harga timah merosot sehingga RM20 sekilogram dan ia kekal pada paras itu sehingga 2003. Negara seperti China dan Indonesia mula mengeluarkan lebih banyak dan menjadikan permintaan lebih rendah berbanding penawaran,” katanya.

Namun, harga timah mula pulih pada sekitar 2004 susulan permintaan yang kukuh kerana sifatnya sebagai logam teknologi dan seiring dengan kebangkitan pembuatan telekomunikasi dan elektronik pengguna untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

Tidak perlu dikatakan lagi bahawa ledakan teknologi global amat memangkinkan pasaran timah dengan penggunaannya tidak terhad sebagai kegunaan tradisional bagi pematerian dan penyaduran timah malah untuk bateri dalam kenderaan elektrik (EV), panel solar, bahan kimia timah dan sebagainya.

“Kami juga sedang berusaha untuk terus membangunkan penggunaan baharu bagi timah dengan kerjasama Persatuan Timah Antarabangsa yang berpangkalan di United Kingdom serta pihak lain agar dapat mengekalkan penggunaan timah.

“Dari segi pascapenggunaan, wujud juga momentum yang semakin rancak untuk mengitar semula timah dengan mengekstraknya daripada komponen elektronik dan kimia timah supaya kita tidak perlu hanya menumpukan pada perlombongan,” katanya.

Industri Timah Masih Berkembang Maju

Raveentiran berkata dari segi pengeluaran, MSC pada masa ini boleh meleburkan sehingga kira-kira 30,000 tan timah padat setahun dan dijangkakan meningkat kepada kira-kira 40,000 tan dalam masa terdekat.

“Dalam melangkah maju, memandangkan kami meningkatkan operasi di Pelabuhan Klang, kami menjangkakan memperoleh lebih banyak timah padat kerana kami telah mendapat relau TSL (top submerged lance) yang mempunyai faedah utama mengatasi relau konvensional.

“Faedah ini termasuk kos operasi yang lebih rendah, akses kepada gudang LME (Bursa Logam London) dan paling penting jejak karbon yang lebih kecil,” katanya.

Beliau berkata walaupun industri timah digelar sebagai ‘industri senja’ pada 1980-an, ia masih berkembang pesat dengan penggunaan global kini pada kira-kira 380,000 tan timah padat setahun berbanding 250,000 tan ketika itu.

“Minat terhadap timah semakin pulih dan permintaan semakin meningkat, lebih-lebih lagi dengan peningkatan tenaga boleh baharu. Timah dipasarkan sebagai logam hijau kerana ia mempunyai banyak faedah,” katanya.

Beliau berkata inovasi, pertumbuhan dalam aktiviti pembuatan dan permintaan lebih tinggi untuk elektronik merupakan faktor yang mendorong permintaan timah, yang turut menyebabkan harga meningkat.

“Timah berada pada kedudukan terbaik dalam jadual berkala. Gabungan ciri-ciri fizikal dan kimianya yang luar biasa tidak dapat ditandingi oleh mana-mana logam bukan ferus lain dan saya tidak nampak mana-mana logam lain yang mungkin boleh menggantikan timah,” katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image