KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti itu atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat MT Umno malam ini berkata, pemecatan kedua-dua mereka dibuat kerana kesalahan sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lepas.

Selain itu, turut dipecat ialah lima ahli Umno Bahagian Pasir Gudang, sembilan ahli Umno Bahagian Putrajaya, dua ahli Umno Bahagian Tanjung Karang dan 26 ahli Umno dari Pahang.

“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon Bebas, calon parti selain Barisan Nasional (BN) dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Ketua Pemuda Umno Shahril Sufian Hamdan, Ketua Umno Bahagian Tebrau Datuk Maulizan Bujang dan Ketua Umno Bahagian Jempol Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif digantung hak dalam parti selama enam tahun.

Sementara itu Ahmad berkata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor yang baharu, menggantikan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

Merujuk kepada Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tahun 2023 yang melibatkan pemilihan jawatan, Ahmad berkata tarikh bagi persidangan itu telah diputuskan pada Mesyuarat MT semalam.

Katanya Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Feb (Rabu) hingga 26 Feb.

“Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita Umno, Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri Umno Pusat, akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

“Bagi Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, ia akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac,” katanya.

Ahmad turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Shahrir Ab Samad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub sebagai Setiausaha JPU 2023.

Beliau berkata tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat akan bermula pada 13 Feb dan ditutup pada 26 Feb pukul 5 petang, dan kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Khairy menerusi Twitternya berkata: “Malam ini saya dipecat oleh parti yang saya sayang, yang saya berikan kesetiaan. Unbowed, unbent, unbroken,”. - Bernama