KUANTAN: Polis percaya hanya seorang individu terlibat dalam kejadian membaling bom petrol atau molotov cocktail di cawangan KK Mart Sungai Isap di sini sehingga menyebabkan berlaku kebakaran kecil pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan pemeriksaan terhadap beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi kejadian.

“Justeru, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kita juga akan lihat CCTV lain yang dapat membantu siasatan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Kempen Pencegahan Jenayah di Bazar Aidilfitri Dataran Sekilau di sini malam tadi.

Wan Mohd Zahari berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman semalam dilaporkan berkata polis telah merakam keterangan empat individu bagi membantu siasatan selain Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah diarahkan meningkatkan rondaan di cawangan KK Mart di seluruh negeri ini.

Pada 30 Mac lepas, cawangan KK Mart yang baru beroperasi dua minggu itu dibaling bom petrol daripada individu tidak dikenali sehingga menyebabkan empat rak jualan serta beberapa barangan jualan rosak.