LABUAN: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.64 juta untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur, program rakyat, kemudahan awam dan perumahan di pulau bebas cukai ini pada 2024.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntuk bagi 20 projek jalan perhubungan desa (PJD) manakala RM500,000 untuk 10 projek di bawah program ameniti sosial.

Beliau berkata KKDW turut memperuntuk RM1,540,000 bagi 20 projek Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin dan RM600,000 untuk baik pulih PPRT yang merangkumi 30 projek.

“Peruntukan ini tidaklah begitu besar dan KKDW bersedia untuk menyalurkan peruntukan yang lebih mengikut keperluan pada tahun depan,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Sultan Abdullah Kampung Sungai Bedaun hari ini.

Ahmad Zahid berkata pada 2023, KKDW hanya memperuntuk RM1,775,000 juta bagi pelbagai projek serta program rakyat di Labuan dan daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta adalah bagi 23 projek JPD manakala RM50,000 untuk pelbagai program ameniti sosial.