KUCHING: Kontraktor harus mengambil peluang untuk memperoleh pelbagai projek pembinaan dalam negara yang bernilai kira-kira RM180 bilion tahun ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata daripada keseluruhan nilai projek pembangunan itu, RM90 bilion merupakan perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan manakala RM90 bilion lagi daripada sektor swasta.

Projek-projek itu antaranya melibatkan pembinaan bangunan, jalan, jambatan serta kerja-kerja penyelenggaraan.

“Oleh sebab itu, negara memerlukan kontraktor yang berkualiti bagi memastikan kejayaan industri pembinaan negara yang melibatkan peruntukan besar. Semua ini harus dibina oleh kontraktor berkualiti, berilmu dan berkemahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan Program Accelerator Programme For Construction Entrepreneurs (ACE) Wilayah Sarawak di sini, hari ini.

ACE merupakan program hasil inisiatif kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Program itu bertujuan melahirkan usahawan kontraktor alaf baharu yang berpengetahuan, berkualiti, kompeten, berdaya saing dan berupaya memacu industri pembinaan Malaysia.

Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan untuk program itu dengan sasaran seramai 300 peserta.