KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor kerugian sebanyak RM625,577 selepas ditipu sebuah syarikat pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata kejadian bermula pada 3 Jan lepas apabila lelaki berusia 41 tahun itu dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang mengandungi tip serta informasi berkaitan saham Malaysia.

Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan testimoni kejayaan pelabur saham yang turut dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp itu kemudiannya bertindak mendaftarkan diri menerusi platform yang diberikan syarikat berkenaan pada 6 Feb lepas.

“Selain maklumat berkaitan saham, kumpulan WhatsApp itu turut diselitkan dengan testimoni pelabur yang kononnya telah menerima keuntungan yang lumayan. Syarikat juga menawarkan untuk menanggung 75 peratus kerugian sekiranya pelaburan saham dibuat mengalami kejatuhan.

“Ia adalah modus operandi suspek untuk mengaburi mangsa bagi membuat pelaburan yang tidak wujud,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mazli mangsa yang terperdaya telah memindahkan wang sebanyak RM625,577 ke akaun syarikat itu bermula 12 Feb lepas.

Bagaimanapun pada 6 April lepas, mangsa mendapati dia telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp berkenaan dan kumpulan tersebut juga didapati sudah tidak aktif.

“Mangsa membuat laporan polis pada 16 April lepas setelah gagal menghubungi pihak syarikat.

“Polis sehubungan itu menasihati orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pelaburan dengan mana-mana syarikat,“ katanya.