SUNGAI PETANI: Sebanyak 10 aduan diterima Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah berkaitan bekalan minyak masak bagi tempoh 12 Mac sehingga hari ini (7 April).

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata daripada jumlah itu, sebanyak tiga aduan masing-masing diterima dari kawasan Alor Setar, Sungai Petani dan Baling, sementara satu aduan di Kulim.

“Bagaimanapun, hanya tiga aduan diambil tindakan membabitkan kesalahan menyorokkan barang kawalan, menjual minyak masak melebihi harga ditetapkan dan pembelian bersyarat,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Kedah di sebuah pasar raya dekat sini, hari ini.

Menurutnya, kes menyorokkan bekalan minyak masak peket 1 kilogram (kg) membabitkan sebuah premis di Alor Setar manakala di Baling, kes membabitkan penjualan minyak masak peket pada harga RM2.80 sepeket berbanding harga kawalan RM2.50 sepeket.

“Satu lagi aduan di Sungai Petani membabitkan pembelian minyak masak peket bersyarat dan pembeli perlu membuat belian bernilai RM50 untuk membeli dua peket minyak masak. Ketiga-tiga premis ini melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,“ katanya.