KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas 265 pelbagai aksesori dan alat ganti telefon tiruan bernilai RM4,525 menerusi Operasi Bersepadu yang dijalankan Selasa lepas.

Pengarahnya Azman Ismail berkata operasi tersebut dilakukan bersama wakil pemilik cap dagang bagi membanteras aktiviti penjualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran daripada pemilik cap dagangan berdaftar.

“Serbuan dilakukan pada 10.30 pagi Selasa lepas hasil daripada aduan oleh wakil pemilik cap dagang serta pemantauan risikan di sekitar Kota Bharu.

“Pemeriksaan lanjut menemui 265 pelbagai aksesori alat ganti telefon berjenama disyaki melanggar Akta Cap Dagangan 2019 dan kesemua barangan tersebut telah disita dalam operasi itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Azman berkata kes akan disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu mempunyai dalam milikan jagaan dan kawalan bagi maksud perdagangan.

“Jika sabit kesalahan pemilik premis perniagaan boleh didenda jika pertubuhan atau perbadanan tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang, manakala jika individu atau perseorangan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. - Bernama