IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 208 unit produk makanan ringan di sebuah premis di Taiping semalam kerana menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan produk jualannya.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata produk itu dikesan oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDN Taiping yang melakukan pemeriksaan di Kawasan Perusahaan Ringan Tupai pada pukul 2.30 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati sijil pengesahan halal untuk produk dikeluarkan premis itu tamat tempoh pada 2008, namun masih digunakan pada peket pembungkusan produk keluarannya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan Peraturan 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan, bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM1 juta.

Bagi bagi pesalah bukan pertubuhan perbadanan pula, boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara sehingga maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image