NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan syor oleh Jawatankuasa Anti Gangguan Seksual dan Anti Buli bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menangani isu gangguan seksual serta buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata beliau yakin saranan dan cadangan yang dikemukakan jawatankuasa berkenaan mampu meningkatkan keselamatan ekosistem sekolah.

“Saya yakin kita menuju kepada ekosistem selamat dan syor ini dapat memudahkan akses untuk anak-anak mendapatkan bantuan dalam konteks melindungi diri mereka berkaitan isu buli dan gangguan seksual.

“Selain itu, syor tersebut juga dapat menguatkan lagi dasar khususnya polisi perlindungan kanak-kanak yang lebih baik sekali gus memastikan keselamatan mereka di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan projek rintis Program 3S (Safer Mind, Safer School, Safer Future) di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Selatan di sini hari ini.

Katanya selepas diperincikan, saranan syor berkenaan akan dimaklumkan supaya dapat sama-sama didukung demi memastikan sekolah anak-anak lebih selamat. - Bernama