KUALA LUMPUR: Kehadiran elemen rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di kawasan kediaman, komersial dan perindustrian berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap jaminan keselamatan diri dan harta benda, termasuk pada musim perayaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ mengangkat betapa pentingnya kuasa jalinan antara polis dan masyarakat dalam usaha mencegah jenayah ke arah mewujudkan persekitaran selamat di negara ini.

“Justeru, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dipertanggungjawabkan untuk mewujudkan penglibatan dengan semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program berkonsepkan Kepolisan Masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman di sini hari ini.

Acryl Sani berkata bagi tempoh Januari hingga April 2023, unit-unit MPV telah menjalankan sebanyak 872,283 pemeriksaan kenderaan, dengan sejumlah 76,768 saman dikeluarkan.

“Di samping itu, anggota unit MPV juga telah menjalankan sebanyak 1,651 tangkapan dengan 770 tangkapan berkait kes jenayah, 777 adalah tangkapan berkait kes narkotik dan 104 lain-lain kes.

“Dalam pada itu, URB juga turut melaksanakan sebanyak 154,887 aktiviti Stop and Talk serta Meet and Greet sebagai usaha mendekatkan lagi PDRM dengan masyarakat,” katanya.

Pada himpunan itu juga, Acryl Sani menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 37 pegawai polis dan pegawai awam dari pelbagai jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing. - Bernama