KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hari ini melancarkan Buku Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan Universiti Awam Tahun 2024 sebagai rujukan kepada universiti awam bagi memperkasakan lagi aspek pengurusan dan penjanaan pendapatan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata garis panduan yang mengemas kini dan menambah baik garis panduan sedia ada yang diguna pakai sejak 2004 itu dibangunkan hasil kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Beliau berkata universiti awam yang mempunyai anak syarikat yang melakukan perniagaan bagi menjana pendapatan kepada universiti, boleh merujuk kepada garis panduan baharu itu.

“Maka, dengan (adanya) panduan ini, ia membolehkan mereka (universiti awam) untuk mengetahui (perihal pelaburan dan pembiayaan yang selaras dengan) peraturan (kerajaan),” katanya pada sidang media selepas Program Suai Tugas Strategik Lembaga Pengarah/Gabenor dan Anak Syarikat Universiti Awam (SOfBoD) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Buku yang dilancarkan itu antara lain memperkemas peraturan dan prosedur berkaitan pelaburan dalam instrumen ekuiti, hutang, kewangan lain atau perkongsian dan pengaturan bersama pihak luar, pembiayaan, serta kawalan dan pemantauan selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Perlembagaan Universiti masing-masing.

Mengenai program berkenaan yang dihadiri 300 ahli Lembaga Pengarah Universiti Awam (LPUA) dan 27 anak syarikat universiti awam, Zambry berkata ia menjadi platform terbaik bagi membincangkan isu serta idea baharu bagi memperkasakan pentadbiran universiti awam.

Antara yang hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Malaysia Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Datuk Seri Abdul Razak Jaafar. - Bernama