SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan meneliti kesan industri penternakan kupang di Port Dickson berikutan kes pencemaran biotoksin sebelum mengambil langkah sewajarnya bagi membantu nelayan dan pengusaha yang terjejas.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap pengusaha dan nelayan terutama selepas Singapura mengambil tindakan menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson.

“Industri kupang di negeri ini tidak besar mana hanya industri hiliran daripada nelayan untuk tambah pendapatan. Tetapi walaupun bilangannya tidak ramai, kita mahu lihat kesan perkara ini kepada nelayan pantai dan akan ambil langkah seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Mantai Rayo 2024 di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Singapura menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson kerana didapati mengandungi biotoksin berbahaya.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dilaporkan telah menerima pengesahan daripada Jabatan Perikanan Malaysia mengenai perkara itu dan sedang bekerjasama dengan pengimport untuk mengesahkan sumber import kupang mereka dan memastikan ia tidak diimport dari kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Wan Aznan Abdullah pada Khamis berkata hasil analisis makmal Pusat Biosekuriti Perikanan Kuala Lumpur mendapati terdapat alga berbahaya yang menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Sementara itu Aminuddin berkata 16,000 kilogram daging lembu dibekalkan pada program mantai di seluruh negeri itu kali ini yang dijual dengan harga RM35 sekilogram, iaitu lebih murah daripada harga pasaran.