IPOH: Seorang kontraktor yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kejadian langgar lari melibatkan dua beradik maut selepas motosikal mereka dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 38.9 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar, kini direman empat hari.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata lelaki berusia lingkungan 50-an itu direman bermula hari ini hingga Selasa ini.

“Permohonan reman dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pagi tadi bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Kemalangan kira-kira 7.12 pagi semalam berlaku ketika mangsa yang berusia 13 dan 17 tahun itu dalam perjalanan ke sekolah dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5.

Dalam kejadian itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda dari arah Kuala Kangsar menghala ke Ipoh memasuki simpang sebelah kanan menghala ke Taman Desa Salak secara mengejut, menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan.